Tuesday 12 May 2009

Pogram Matrikulasi Al-Azhar Kelam-Kabut?

Mulai sesi pengajian 2008/09, sistem pembelajaran Matrikulasi Al-Azhar sudah mula diperkenalkan. Ini adalah satu MOU yang telah diputuskan oleh pihak Universiti Al-Azhar yang diwakili oleh Dr Ahmed Taib (Rektor Al-Azhar) dan TYT Datuk Zainal Abidin Ab Kadir (Duta Besar Malaysia ke Kaherah).

Apakah wajar seorang Duta menandatangani MOU? Sedangkan pihak yang bertanggungjawab adalah Kementerian Pengajian Tinggi atau Kementerian Pelajaran.

Sila baca laporan akhbar
di sini berkenaan mahasiswa Pra Al-Azhar ini.

Apa yang ingin dibincangkan adalah sejauhmana Kementerian Pelajaran mengambil serius program ini. Difahamkan bahawa program ini dipertanggungjawabkan di bawah Kementerian Pelajaran dan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pengajian Tinggi. Oleh yang demikian, boleh dirumuskan bahawa Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) tidak akan bertanggungjawab sama sekali kepada program ini dan ia merupakan bidang kuasa luar yang diperuntukkan.

Ada beberapa perkara yang masih kabur sehingga hari ini.

Pertama, mengapa sehingga hari ini semua pelajar Pra-Azhar ini tidak mendapat visa?

Kedua, di bawah pentadbiran manakah mahasiswa ini berurusan? Adakah dengan pihak pentadbiran Al-Azhar atau mereka yang berada di luar Al-Azhar?

Ketiga, mengapa program ini hanya tertumpu kepada mahasiswa daripada negara Malaysia?

Keempat, benarkah fail mahasiswa Pra-Azhar ini hilang di Azhar? Ke mana fail mereka?

Dikhabarkan bahawa program ini adalah ciptaan Tuan Yang Terutama Datuk Duta. Mahasiswa Pra-Azhar (Matrikulasi) ini datangnya daripada pelajar cemerlang SPM. Pelajar-pelajar ini dibiayai oleh Amanah Raya Berhad (ARB) dan segala kos ditanggung oleh pihak ARB.

Demi mencukupkan 'korum', selepas kedatangan mahasiswa seramai 24 orang ini (tajaan ARB) ke Mesir, TYT Duta telah 'mempromosi'kan program ini dengan menjemput mana-mana pelajar (lepasan STAM yang sudah berada di Mesir dan bakal masuk pengajian Ijazah) menyertai program ini dengan menawarkan pelbagai tawaran.

Akhirnya, baki mahasiswa yang tidak ditaja oleh ARB ini menyertai program ini. (Mereka sanggup tinggalkan Ijazah Sarjana Muda semata-mata mahu kembali jadi pelajar Matrikulasi)

Daripada pemerhatian kita, pelajar-pelajar ini dikatakan bakal ditempatkan di dalam Fakulti Ulum Islamiah selepas tamat setahun di dalam program Pra-Azhar ini. Namun, sehingga kini Fakulti Ulum Islamiah tersebut masih belum wujud dan adakah ia telah diluluskan oleh pentadbiran Universiti Al-Azhar pun masih lagi kabur.

Ini adalah dasar. Bagaimana sebuah fakulti mampu ditubuhkan secara tiba-tiba dan hanya melibatkan mahasiswa Malaysia? Adakah pentadbiran Al-Azhar akan menerima fakulti ini? Lihat sahaja bagaimana mudahnya Dr. Ahmed Taib (Rektor Al-Azhar) memansuhkan program Muadalah (Program Berkembar Al-Azhar) pada tahun yang lalu. Dan, ada kemungkinan selepas bertukarnya Rektor Al-Azhar pada masa mendatang, perkara yang sama akan berulang. Ya! Tidak mustahil.

Saya memohon pihak-pihak yang bertanggungjawab mengenalpasti masalah ini dan menyelesaikannya. Dikhabarkan bahawa TYT Datuk Duta akan menamatkan perkhidmatan sebagai Duta Besar beberapa hari lagi. Siapa pula yang akan mengganti? Jikalau Datuk Dusuki Ahmad selaku Pengerusi Amanah Raya Berhad mungkin tidak bermasalah kerana beliau akan 'mempertahankan' mahasiswa kita ini. Namun, jika pengganti beliau adalah datangnya daripada pihak lain, siapa yang bakal bertanggungjawab? Fikirkan.

Tambahan :

1. Pelajar cemerlang yang dihantar ke sini melalui program ini sudah tidak lena tidur memikirkan masa depan mereka.

2. Saya diminta menulis artikel ini untuk dibawa ke Parlimen.


sumber: Ustaz Syafiq Zulkifli (Mantan SU PMRAM)

0 comments: