Sunday 30 November 2008

HALAQAH DAN USRAH

Tidak ramai yang memahami bahawa HALAQAH dan USRAH itu satu kepentingan dalam tarbiah Islamiah. Apa yang pasti ia merupakan komponen asas dan nadi dalam perjuangan Islam. Tanpa USRAH lunturlah komitmen dan semangat cintakan Islam dikalangan individu muslim. Justeru itu USRAH bukan sahaja medan ilmu semata-mata malah ia merangkumi proses pentarbiyyahan individu yang berperanan besar dalam membentuk acuan peribadi muslim yang sebenar sebagai hamba dan khalifah Allah Taala.

USRAH membawa pengertian dalam bahasa arab yang bermaksud keluarga, yang mana merupakan satu kumpulan individu muslim yang beriman kepada Allah, berusaha untuk tolong menolong sesama mereka yang memahami ajaran Islam dan melaksanakan amal Islami sebagai menyahut seruan Allah SWT.

Usrah akan melahirkan ukhuwwah mantap min Ribatil Aqidah

Imam Hassan Al- Banna menggariskan 3 rukun USRAH sebagai panduan. Pertamanya Taaruf, berkenalan dan berkasih sayang dengan semangat cintakan agama Allah. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bererti “ orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan juga membiarkannya”. Keduanya, Tafahum iaitu saling bersefahaman sesama ahli usrah dalam beramal dan bertindak terhadap sesuatu perkara apabila wujudnya persefahaman maka segala nasihat menasihati perkara yang baik akan membuahkan kasih sayang antara ahli usrah dan perasaan syak wasangka hilang dan hasad dengki akan terhindar. Dan ketiganya, Takaful iatu wujudnya perasaan tolong menolong dan bantu membantu di kalangan ahli usrah dan masyarakat sekelilingnya. Dasar takaful ini merupakan tunjang iman dan intipati ukhuwah sejati.

. Secara amnya, dalam USRAH ini dapat menghidupkan budaya nasihat-menasihati sesama ahli disamping dapat mengasah kebolehan mereka dalam memberi pandangan dan idea ketika di dalam komuniti usrah serta melahirkan mereka yang mempunyai ilmu yang tepat dan sahih, memahami fikrah dan matlamat perjuangan dan sanggup berkorban. Melalui proses ini juga, USRAH dilihat berperanan besar dalam mendominasikan biah solehah di kampus. Sebagaimana yang kita ketahui kampus adalah tempat persinggahan untuk mengutip mutiara ilmu dan pengalaman. Maka di sini menuntut generasi mahasiswa supaya sentiasa bersedia dengan disiplin ilmu yang diceburi disamping melengkapkan diri dengan pelbagai soft skills seperti problem solving, communication skills dan charismatics. Tambahan pula kita sebagai ulama muda harus lebih berperanan sebagai duta penyelamat dan kasih sayang kepada masyarakat dan selalu menjadikan diri kita sentiasa terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat tidak kira kecil atau besar sumbangan tersebut. Inilah yang patut di impikan oleh semua mata rantai pejuang Islam.

Konklusinya, dapat di rungkaikan di sini bahawa ,USRAH memberi suatu kepentingan kepada kita bahawa pentingnya kita mengadakan dan mengikuti USRAH. Dengan USRAH dapat memupuk rasa kasih sayang dan kemesraan kerana agama Allah berdiri di atas Ribatil Imanukhuwwah. Ia juga mendidik hati-hati mereka yang bersama dalam USRAH supaya menjadi insan yang bertanggungjawab terhadap ajaran Islam yang bermula dari diri, keluarga dan masyarakat sehinggalah mengunjur kepada pembinaan daulah disamping dapat mengukuhkan ukhuwwah Islamiah. Melalui USRAHlah dapat melahirkan generasi insan yang mempunyai ilmu yang bermanfaat, Aqidah yang sejahtera, kuat fizikalnya, baik akhlaknya, berilmu, sahih ibadahnya, menjaga waktu, persaudaraan Islam yang kukuh dan mantap, hidupnya bermanfaat untuk orang lain serta Istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah Taala. Tanamkan azam dalam diri kita untuk sama- sama berada di bawah keredhaan Allah dalam menelusuri dan mengharungi medan dakwah ini untuk kita mendapat kebahagiaan dan keberkatan hidup dari Nya. Ayuh!!!!!!! bangkitkan semangat bermujahadah dalam diri semua insan demi untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini.


0 comments: