Friday 26 December 2008

HIJRAH DAN DAULAH

Hijrah dan daulah merupakan dua kalimah yang penuh bermakna dan saling berkait rapat antara satu sama lain sana ianya tidak boleh dipisahkan. Menjadi suatu kesilapan bagi mereka yang hanya menyebut tentang Hijraturrasul tetapi tidak mengaitkannya dengan pembinaan Daulah Islamiyah kerana ia akan menyembunyikan matlamat utama kebenaran hijrah itu sendiri iaitu menegekkan sebuah Daulah Islamiyah yang memastikan agama bukan setakat memperkatakan masalah individu tetapi turut merangkumi masalah kemasyarakatan dan Negara.

Hijrahnya Nabi dari Kota Mekah ke Kota Madinah bukan setakat berpindah tempat tetapi turut mennghijrahkan keadaan daripada umat yang lemah kepada gagah, umat yang tertindas kepada umat yang bergerak cergas , umat yang melarat kepada umat yang berdaulat, dakwah yang bergerak di dalam lingkungan terbatas kepada masyarakat yang lebih luas. Penekanan terhadap aqidah dan ibadah kepada perlaksanaan semua sistem kehidupan termasuk social.

Hijrah memastikan umat Islam sentiasa bergerak kehadapan bersama suluhan wahyu bukannya undur kebelakang akibat tertipu oleh nafsu, sogokan atau hatta dengan janji pemerintah sekalipun. Hijrah membina suatu identiti diri malah menjadi contoh teladan yang baik kepada umat lain. Umat Islam yang mempunyai jatidiri yang tinggi dihasilkan daripada hijrah di mana mereka sumpama ikan dilaut yang isinya tetap manis walaupun hidup di dalam air masin. Tidak dikira hijrah jika minda, prinsip dan karakter masih dijajah.

Memahami kepada konsep hijrah itu sendiri iaitu berubah daripada satu tahap kurang baik kepada yang terbaik sebelumnya maka kita sebagai umat Islam yang hidup pada zaman yang penuh dengan fitnah cubaan dunia mestilah sedaya upaya bersungguh-sungguh dalam menghayati konsep hijrah ini. Adalah suatu yang amat malang bagi bagi seseorang yang hari ini lebih buruk dari hari semalam.

Umat Islam yang benar-benar berjaya melakukan penghijrahan ke arah yang terbaik mestilah memiliki keyakinan dan komitmen yang tinggi terhadap sistem Islam itu sendiri. Bagi melahirkan keyakinan maka ia disemai melalui budaya ilmu dan tidak mengerti istilah penat dan jemu serta tidak dibatasi oleh factor usia, pengkhususan dan kerjaya.

Kita mengambil contoh bagaimana tindakan tegas Sayyidina Umar al-Khatab dalam mewajibkan setiap peringkat rakyatnya bermula daripada pegawai kerajaan yang memerintah sehinggalah rakyatnya mesti manghadiri majlis ilmu samada sebagai guru yang mengajar atau murid yang belajar yang bagaimana suburnya budaya ilmu sehingga banyak melakukan perubahan kearah kemajuan tamadun kemanusiaan dan kebendaan dapat dicapai.

Ilmu yang dipelajari bukan untuk diaplikasikan pada lingkungan akademik semata-mata. Yang perlunya adalah bagaimana ilmu itu dapat merubah diri kita menjadi yang lebih baik dan sekaligus bermanfaat untuk masyarakat dan ummah. Begitu juga budaya belajar yang dituntut yang tidak hanya terhenti setakat untuk mendapat sijil bagi memperolehi kerja. Status dan harta telah memusnahkan budaya ilmu kepada umat Islam sehingga mereka hanya bergerak untuk memenuhi keperluan peribadi bukannya sama-sama berganding bahu sukarela dalam memajukan umat . Masalah ini semakin parah apabila serangan dan tekanan terhadap pengajian agama dan pemahaman yang menyeluruh tentang sistem Islam terus berlangsung. Tetapi ini semua mesti dijadikan cabaran untuk dihadapi dengan bijaksana sehingga kita mampu mencapai kejayaan bukannya ia dijadikan alasan untuk berhenti daripada melakukan hijrah ke arah yang terbaik.

Umat Islam wajib berubah ke arah yang terbaik sebagaimana yang pernah dicapai oleh tamadun Islam sebelum ini. Umat Islam patut sedar bahawa sebenarnya nenek moyang kita telah mencapai kegemilangan tamadun yang bernilai dan berharga, tetapi ianya telah musnah akibat kelalaian dan kealpaan umat Islam itu sendiri yang membuka ruang kepada musuh untuk merobek serta menghancurkannya sebelum musuh itu membina kemajuan tamadun mereka hasil meniru terhadap tamadun yang pernah ditegakkan oleh umat Islam tetapi dibuang ruh Islamnya. Adakah kejayaan umat Islam terdahulu hanya mampu didengar dan dibaca sahaja oleh umat hari ini tetapi tidak mampu diteladani.

Mengapa musuh Islam mampu mencapai kegemilangan tamadun kebendaan hasil meniru tamadun Islam silam sedangkan kita tidak berbuat demikian sebaliknya hanya menjadi pak turut terhadap kehendak musuh sehingga umat Islam terus ketinggalan dari sudut tamadun kebendaan yang hamper musnah dalam tamadun kemanusiaan. Umat Islam yang digelar umat contoh dan terbaik dari kalangan umat manusia ialah suatu umat yang menegakkan sistem Islam dengan seluruh keupayaan mereka bukan hanya setakat yang dipersetujui oleh nafsu sahaja.

Sesuatu umat hanya mampu berubah daripada perubahan yang dilakukan dari dalam diri mereka sendiri. Bilakah identity umat Islam kembali? Terserah kepada perkataan dan tindakan mereka sehingga mampu membina kembali tamadun yang gemilang. Bersediakah kita untuk melakukan perubahan atau kita terus menjadi umat yang jumud yang hanyut dalam khayalan dan mimpi sendiri tanpa bergerak untuk melakukan perubahan yang terbaik lebih-lebih kita bergelar golongan mahasiswa yang bertindak sebagai ejen perubahan masyarakat, duta penyelamat dan kasih sayang, lebih bagus lagi dengan gelaran sebagai ulama muda..

Kini bukan masa kita bercakap kosong tetapi adalah masa untuk kita merancang dan bertindak sehingga perubahan dapat dibuat dengan baik dan bijaksana.



misteraim; ku lihat "HIJAU"

0 comments: